Friday, January 1, 2010

Benarkah perokok wanita meningkat?

Jumlah penghidap barah paru-paru yang 90 peratus berkait rapat dengan tabiat merokok atau menghidu asap rokok didapati semakin meningkat terutama di kalangan wanita, kesan daripada peningkatan jumlah perokok membabitkan golongan itu di negara ini.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain, berkata kadar peningkatan itu mampu dibendung dan dikurangkan sekiranya perokok meninggalkan tabiat mereka.“Hanya satu cara yang boleh kita lakukan iaitu meminta mereka berhenti merokok. Ia boleh dikurangkan kerana menghisap rokok sesuatu yang boleh kita elakkan sebenarnya.“Sekiranya mereka menghisap rokok, kesannya bukan sekarang, tetapi dalam tempoh 20 atau 25 tahun akan datang. Waktu itu baru kita dapat lihat kesan dan akibatnya kepada perokok terbabit,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Awam Kanser 2009 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.Turut hadir, Pakar Perunding Onkologi, Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen, Dr Zabedah Othman; Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin dan Pakar Bedah Mulut dan Ketua Jabatan dan Pakar Perundingan, Dr Wan Mahadzir Wan Mustafa.Dr Zaininah berkata, barah adalah satu masalah kesihatan global merangkumi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, kepercayaan agama atau status seseorang.

Katanya, mengikut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2003 seramai 21,464 orang disahkan menghidap barah di negara ini dan ia antara punca kematian yang keempat tertinggi di Malaysia.Beliau berkata, Kementerian Kesihatan begitu komited mengadakan kempen berhenti merokok kerana selain barah paru-paru, merokok juga akan menambahkan risiko untuk mendapat barah lain seperti barah mulut, tekak dan pankreas.Katanya, barah juga antara 10 penyebab utama kemasukan ke hospital kerajaan. Anggaran insiden barah ialah antara 30,000 hingga 40,000 setahun dengan satu antara empat individu di negara ini akan mendapat barah sepanjang hayat mereka.“Angka ini akan meningkat menjadi satu dalam tiga individu sekiranya dibiarkan berterusan dan barah paru-paru antara barah yang sering dikaitkan dengan lelaki selain usus, nasopharynx, rektum dan kelenjar prostat.“Barah payu dara, pangkal rahim, usus dan rektum pula membabitkan wanita, tetapi dengan pemerhatian terbaru ini barah paru-paru juga menjadi masalah utama wanita di negara ini sejak kebelakangan ini,” katanya.Beliau berkata, kebanyakan pesakit hanya menjalani pemeriksaan di hospital selepas barah mereka berada pada peringkat ketiga dan keempat yang mana pada peringkat itu sukar untuk membuat rawatan.Katanya, kempen kesedaran yang dilakukan HKL diharap akan memberi kesedaran kepada orang awam berhubung penyakit itu dan datang melakukan ujian bagi mengesan lebih awal penyakit berkenaan.Katanya, mungkin ramai individu yang beranggapan mereka cukup sihat tanpa menjalani pemeriksaan kesihatan malah tidak kurang juga beranggapan tidak akan berdepan masalah kesihatan.“Namun hakikatnya setiap orang sebenarnya mempunyai risiko yang sama untuk mengalaminya memandangkan kebanyakan penyakit kronik menyerang anggota badan dalam diam.“Justeru, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Kita perlu sedar ada beberapa jenis barah di negara ini boleh dikenal pasti dan dikesan pada peringkat awal,” katanya.Sehubungan itu, kata Dr Zaininah, keutamaan perlu diberikan kepada pendedahan simptom atau tanda barah menerusi pendidikan kesihatan, promosi kesihatan, pengesanan awal, cara pemeriksaan, saringan dan rawatan penyakit barah.“Kita mengesan ada peningkatan setiap tahun. Kemungkinan bukan disebabkan barah yang meningkat, tetapi disebabkan faktor lain seperti kesedaran orang ramai untuk tampil melakukan pemeriksaan awal.“Mungkin juga disebabkan kita kini mempunyai kemudahan peralatan yang lebih moden dan canggih untuk mengenal pasti barah ketika masih berada pada peringkat awal,” katanya.

Selain perokok, wanita juga menjadi mangsa apabila orang terdekat dengannya seperti suami turut menghisap rokok menyebabkan mereka menjadi perokok pasif, apabila turut menghidu asap rokok suami.Sementara itu, Dr Wan Mahadzir berkata, kebanyakan pesakit yang mengalami barah mulut hanya datang melakukan pemeriksaan ketika mereka berada pada peringkat ketiga dan keempat.“Barah mulut ini berlaku di tempat yang penting dan apabila tidak dibuat rawatan awal akan menyebabkan berlaku kecacatan di bahagian yang menjadi tumpuan orang.“Antara penyebab berlaku barah mulut adalah kerana tabiat merokok, makan sirih dan minuman keras,” katanya.

No comments:

Post a Comment